Makluman:
Pautan kepada sumber/blog asal setiap artikel diletakkan di permulaan entri.

Surah at-Tahrim ayat 6:
{ Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah, terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan}

Wednesday, December 29, 2010

“… Ingatlah ALLAH banyak-banyak(dalam semua keadaan).. “ Sungguh, ingatan dan hubungan hati yang terjaga denganNYA mampu menyejuk hati, mengusir keletihan dan meredakan kemarahan.

Monday, December 20, 2010

11. JIKA ANAK SUKA BERTANYA

Strategi Berhadapan Dengan Anak yang Suka Bertanya


Soalan: Assalamualaikum Puan. Anak lelaki saya berusia empat tahun, baru masuk tadika. Masalah saya ialah dia sangat suka bertanya soalan. Saya sendiri agak pendiam dan sering terasa rimas dengan soalan-soalannya, lebih-lebih lagi jika saya tiada jawapannya. Apa pandangan puan?

Jawapan: Waalaikumsalam wbt. Sesetengah ibu-bapa kurang selesa jika anak mereka suka bertanya soalan. Mereka terasa tercabar, lebih-lebih lagi jika tidak mampu menjawab soalan-soalan yang dilontarkan oleh si anak.
Pada pandangan saya, anak yang suka bertanya soalan adalah satu kurniaan Ilahi yang sangat istimewa. Anak-anak sebegini jika dilayani berpotensi menjadi remaja dan seterusnya orang dewasa yang bijak berfikir dan petah berbicara. Saya maksudkan di sini bukan sembang kosong yang tiada makna, tetapi secara ilmiah dan padat isinya. Sekaligus mencerminkan ketajaman minda.
Sebenarnya mendidik anak yang petah berbicara bukanlah di luar jangkauan kebanyakan ibu bapa. Terutama jika anak tersebut jelas minat bercakap dan suka bertanya sejak kecil lagi.
Anak yang petah berbicara ada dua kelebihan: bijak memilih kata-kata dan pintar berfikir.

Bijak Memilih Kata-Kata
Lazimnya kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah olahan soalan dan ayatnya masih kurang teratur. Perhatikan perbualan antara Man (empat tahun) dan ibunya di bawah sewaktu dalam perjalanan balik dari tadika.
Contoh:
Man: (melihat ke langit) Ibu, cikgu kata awan tu air. Kenapa awan tak jatuh?
Ibu: Hmm ... menarik soalan tu. Ibu agak mungkin sebab awan terlalu ringan, jadi hanya terapung sahaja di angkasa.
Man: Betul ke ibu?
Ibu: (tersenyum) Ibu tak pasti sebenarnya. Sampai rumah nanti kita Google sama-sama, OK?
Perhatikan:
1) Ibu tidak malu mengaku dirinya tidak tahu
2) Ibu sengaja menyebut "terapung" dan "angkasa" – menambah perbendaharaan kata-kata anaknya sekaligus mengembangkan pemikiran si anak dan membimbingnya supaya bijak memilih kata-kata
3) Ibu tersenyum – tidak membidas atau meremehkan soalan yang diajukan anaknya

Pintar Berfikir
Sampai di rumah, ibu membantu Man membuat carian "why clouds float" ("mengapa awan terapung") menerusi Google dan menyambung diskusi.
Ibu: Man, kalau Man tuangkan air yang penuh dalam cawan, ke mana air tu tumpah?
Man: Ke tanah?
Ibu: Kenapa tidak tumpah ke atas? Kenapa air tu tak terapung di udara macam awan?
Man: Man tak tau ... (berfikir)
Ibu: Awan sebenarnya adalah titik-titik air yang sangat halus. Titik-titik air ini tersebar di angkasa. Bila dah tersebar, ia jadi ringan, udara di angkasa boleh tampung. Tak seperti air yang penuh dalam cawan.
Mungkin anda tertanya: Mampukah anak berusia empat tahun memahami diskusi seperti ini?
Jawapannya: Boleh, jika anak tersebut sudah dibiasakan dilayan begini. Jika tidak 100%, sekurang-kurangnya sebahagian daripadanya. Apa yang dilakukan oleh ibu di atas ialah melatih anaknya berfikir secara kritikal.

Bercakap Santapan Minda
Bandingkan gaya interaksi di atas dengan yang berikut:
Man: (melihat ke langit) Ibu, kenapa awan tak jatuh?
Ibu: (acuh tak acuh) Mana ibu tahu. Tanya cikgu kat sekolah!
Interaksi kedua terbantut di situ sahaja kerana ibu langsung tidak menunjukkan minat terhadap soalan Man.
Kualiti pemikiran anak-anak sebahagian besar bergantung kepada kesediaan dan kesabaran ibu bapa melayani sifat ingin tahu yang membara dalam jiwa setiap anak.
Si anak meningkat keyakinan dirinya bila ibu bapa berusaha sedaya upaya mencari jawapan untuk soalan-soalan yang ditanyakan. Tidak seperti anak yang soalan-soalannya tidak diendahkan, merasa dirinya kurang pintar dan tidak layak diberi jawapan.
Setiap soalan yang diajukan anak kecil membuka peluang keemasan untuk ibu bapa mengembang dan menajamkan mindanya. Setiap interaksi antara ibu bapa dan anak adalah santapan minda untuk anak tersebut.

Internet Dan Pengaruhnya
Gaya hidup Internet merobah segalanya. Ledakan informasi bermakna anak anda dihujani dengan maklumat yang seringkali kurang tepat dan mengelirukan. Paling serius jika ia membabitkan aqidah dan kefahaman terhadap prinsip-prinsip Islam. Pun begitu, Internet boleh menjadi sumber maklumat dan rujukan paling berharga jika anak anda tahu cara menggunakannya. Point saya di sini ialah, anak-anak yang tidak diendahkan soalan-soalannya kurang mahir berfikir secara kritikal dan lebih mudah terpengaruh dengan elemen-elemen negatif di luar sana.
Mustahil ibubapa boleh menjawab dengan tepat semua soalan yang diutarakan anak-anak. Yang perlu dibuat ialah membimbing anak-anak supaya tidak mudah menelan bulat-bulat apa jua maklumat yang diterima.
Segelintir ibu bapa pula berpendapat bahawa tugas menjawab soalan anak-anak harus dipikul oleh guru. Hari ini, sistem sekolah amat menitikberatkan peperiksaan. Sekolah tidak menggalakkan anak-anak bercakap mahupun bertanya soalan kerana ianya dilihat sebagai mengganggu kelancaran guru mengajar.
Sistem sekolah yang "exam-oriented" sebegini sebenarnya bercanggah dengan naluri ingin tahu setiap kanak-kanak. Ini salah satu sebab ramai anak-anak yang hilang minat belajar di sekolah. Kepintaran anak-anak diukur berdasarkan pencapaian akademik.
Guru wajib menghabiskan silibus yang ditetapkan. Ditambah pula dengan pelbagai isu disiplin yang meningkatkan tahap tekanan guru, tidak hairanlah jika guru kesuntukan masa dan jarang sekali berpeluang melayani sifat ingin tahu kanak-kanak.
Ini bermakna, jika anda impikan anak yang pintar berfikir dan petah berbicara, andalah yang perlu bersikap proaktif dan membimbingnya tanpa jemu! Setiap soalan yang sarat dengan "mengapa", "kenapa", dan "bagaimana" yang terpacul dari mulut anak anda seharusnya diraikan dan diberikan respons sebaik yang anda termampu.

Biodata Kolumnis

Jamilah Samian merupakan seorang Certified Professional Trainer (CPT) dan aktif dalam Toastmasters International. Beliau berkelulusan Ijazah Psikologi dari Upper Iowa University (USA), Ijazah Sains Komputer dan Matematik dari Indiana State University (USA) dan Diploma Penulisan dari London School of Journalism (UK). Beliau juga merupakan penulis buku "Cool Mum Super Dad" dan "Cool Boys Super Sons." Anda boleh ajukan soalan-soalan anda kepada penulis di jamilah.samian@gmail.com

Saturday, December 18, 2010

10. BERWUDHU'

Berwudhu PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah   
Thursday, 11 March 2010
Dalam pengajian kita sering mengulangkaji sesuatu subjek agar ingatan kembali jelas dan peperiksaan dapat dilalui dengan cemerlang. Apa kata pada ruangan kali ini kita melakukan satu ulangkaji, ulangkaji terhadap satu subjek yang kita belajar semasa zaman tadika atau fasa awal sekolah rendah. Kita mengulangkaji agar amalan kita sentiasa jelas dan kita lulus dalam peperiksaan di hari akhirat kelak. Subjek itu ialah wudhu’, yakni cara-cara mengambil wudhu’. Bagi ulangkaji ini, saya akan gunakan hadis berikut yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Shahihnya, hadis no: 164:wuduk_kaki.jpg
 “Bahawasanya Utsman bin ‘Affan meminta dibawakan sebuah bekas air untuk dia berwudhu. Lalu dia menuangkan air itu ke telapak tangannya dan mencuci kedua-duanya tiga kali. Kemudian dia memasukkan tangan kanannya ke dalam bekas air itu (untuk menciduk air untuk dia) berkumur-kumur sambil memasukkan air ke dalam hidung dan menghembusnya keluar. Kemudian dia membasuh mukanya tiga kali dan kedua tangannya hingga siku tiga kali. Kemudian dia mengusap kepalanya dan membasuh kedua-dua kakinya tiga kali.
Kemudian dia berkata: “Aku melihat Nabi SAW berwudhu’ sepertimana wudhu’ aku ini, lalu baginda bersabda: “Sesiapa yang berwudhu’ sepertimana wudhu’ aku ini lalu dia solat dua rakaat tanpa menyibukkan dirinya dalam melakukan dua rakaat itu, maka Allah akan mengampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.”Berdasarkan hadis di atas dapat kita ambil beberapa pelajaran penting berkenaan amalan wudhu’, iaitu:
 
Pertama: Bekas air yang digunakan untuk berwudhu’ hanyalah bersaiz kecil. Dalam sebuah hadis lain diterangkan bahawa Rasulullah SAW lazimnya berwudhu’ sebanyak satu “mud” air. [Shahih al-Bukhari, no: 201] Satu “mud” air ialah air yang dapat ditakung dengan kedua-dua telapak tangan orang lelaki bersaiz sederhana yang diletakkan bersama. Ia menyamai kuantiti air sebuah botol air mineral bersaiz kecil (600-700ml). Para ilmuan menyatakan satu “mud” bukanlah batas maksima penggunaan air wudhu’, tetapi menunjukkan sifat hemah penggunaan air oleh Rasulullah SAW. Jumlah ini hendaklah sama-sama kita renungi dalam suasana berwudhu’ masa kini yang menggunakan air paip yang mengalir deras, di mana jumlahnya jauh lebih banyak dari satu “mud”.
 
Kedua: Setelah membasuh kedua-dua telapak tangan, tangan kanan dimasukkan ke dalam bekas air untuk menciduk air bagi basuhan seterusnya. Nampaknya telah berlaku percampuran air, di antara air yang tersisa di telapak tangan setelah pembasuhan dan air yang berada di dalam bekas. Ini merupakan salah satu dari sekian banyak bukti bahawa syarat air mustakmal tidak berasal dari sunnah Rasulullah SAW. Air mustakmal bererti air yang telah digunakan untuk membasuh sesuatu anggota wudhu’, di mana ia tidak boleh digunakan semula oleh orang yang berwudhu. Syarat air mustakmal yang masyhur diajar hanya merupakan syarat yang dibuat-buat. Ia menyukarkan amalan wudhu’, membazirkan air dan tidak memiliki dalil kukuh dalam agama.
 
Ketiga: Para ilmuan berbeza pendapat hukum memasukkan air ke dalam hidung dan menghembusnya keluar ketika wudhu’, apakah ia sunat atau wajib? Di sebalik perbezaan ini, yang utama ialah kita memasukkan air ke dalam hidung dan menghembusnya keluar kerana ia merupakan sunnah yang mulia lagi menghasilkan pahala. Tidak ketinggalan, ia adalah praktik yang dapat membersihkan rongga hidung kita.
 
Keempat: Membasuh anggota wudhu’ sebanyak tiga kali merupakan jumlah maksimum. Jika dirujuk kepada hadis-hadis sahih yang lain, diterangkan bahawa Rasulullah SAW pernah membasuh anggota wudhu’ sekali, dua kali dan tiga kali. Semuanya bergantung kepada kadar penyebaran air dan pembasuhan. Jika anggota wudhu’ dapat disebarkan air ke atasnya dan dibasuh dengan lengkap, maka sekali sudah mencukupi. Tidak semestinya ia dilengkapkan kepada tiga kali. Jangan melebihi tiga kali kerana ia hanyalah was-was bisikan syaitan dan kezaliman ke atas diri sendiri. Rasulullah SAW mengingatkan: “Inilah wudhu’, sesiapa yang menambahnya maka dia berbuat keburukan, melampaui batas dan zalim”. [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 422]
 
Kelima: Semua anggota wudhu dibasuh sekali atau dua kali atau tiga kali kecuali kepala, ia diusap hanya sekali. Para ilmuan sekali lagi berbeza pendapat, apakah kepala diusap keseluruhannya atau cukup sebahagian atau cukup minimum tiga helai rambut? Di sebalik perbezaan ini, yang utama ialah mengusap keseluruhan kepala kerana itulah amalan Rasulullah SAW. Cara mengusap ialah menggunakan ruang di antara ibu jari dan jari telunjuk, basahkannya dan usap kepala dari hadapan ke belakang, dari belakang ke hadapan semula.
Ketahuilah bahawa telinga termasuk sebahagian dari kepala, maka setelah mengusap dari belakang ke hadapan, kedua-dua jari tangan kanan dan kiri terus mengusap telinga kanan dan kiri. Tidak perlu menciduk air atau membasahkan tangan semula. 
Bagi para muslimat yang memakai tudung dan memiliki kesukaran untuk membuka dan memakainya kembali, Islam memberi kemudahan untuk mereka mengusap di atas tudung sahaja. Mereka tidak perlu membukanya untuk mengusap rambut sepertimana di atas. [Shahih Fiqh al-Sunnah, jld. 1, ms. 238-239]
 
Keenam: Selesai berwudhu sebagaimana Rasulullah berwudhu’, dianjurkan mendirikan solat sunat dua rakaat. Solat ini memiliki ganjaran yang besar kerana ia menghapuskan semua dosa-dosa yang telah lalu. Selain itu Rasulullah SAW juga pernah mendengar bunyi kasut tukang azannya – Bilal – di dalam syurga, lalu ditanya kepada Bilal apakah amalan khusus yang dilakukannya? Bilal menerangkan bahawa beliau mendirikan solat sunat selepas wudhu’ hampir setiap kali selepas berwudhu’. [Shahih al-Bukhari, no: 1149]