Makluman:
Pautan kepada sumber/blog asal setiap artikel diletakkan di permulaan entri.

Surah at-Tahrim ayat 6:
{ Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah, terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan}
Showing posts with label SOLAT. Show all posts
Showing posts with label SOLAT. Show all posts

Saturday, December 18, 2010

10. BERWUDHU'

Berwudhu PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah   
Thursday, 11 March 2010
Dalam pengajian kita sering mengulangkaji sesuatu subjek agar ingatan kembali jelas dan peperiksaan dapat dilalui dengan cemerlang. Apa kata pada ruangan kali ini kita melakukan satu ulangkaji, ulangkaji terhadap satu subjek yang kita belajar semasa zaman tadika atau fasa awal sekolah rendah. Kita mengulangkaji agar amalan kita sentiasa jelas dan kita lulus dalam peperiksaan di hari akhirat kelak. Subjek itu ialah wudhu’, yakni cara-cara mengambil wudhu’. Bagi ulangkaji ini, saya akan gunakan hadis berikut yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Shahihnya, hadis no: 164:wuduk_kaki.jpg
 “Bahawasanya Utsman bin ‘Affan meminta dibawakan sebuah bekas air untuk dia berwudhu. Lalu dia menuangkan air itu ke telapak tangannya dan mencuci kedua-duanya tiga kali. Kemudian dia memasukkan tangan kanannya ke dalam bekas air itu (untuk menciduk air untuk dia) berkumur-kumur sambil memasukkan air ke dalam hidung dan menghembusnya keluar. Kemudian dia membasuh mukanya tiga kali dan kedua tangannya hingga siku tiga kali. Kemudian dia mengusap kepalanya dan membasuh kedua-dua kakinya tiga kali.
Kemudian dia berkata: “Aku melihat Nabi SAW berwudhu’ sepertimana wudhu’ aku ini, lalu baginda bersabda: “Sesiapa yang berwudhu’ sepertimana wudhu’ aku ini lalu dia solat dua rakaat tanpa menyibukkan dirinya dalam melakukan dua rakaat itu, maka Allah akan mengampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.”Berdasarkan hadis di atas dapat kita ambil beberapa pelajaran penting berkenaan amalan wudhu’, iaitu:
 
Pertama: Bekas air yang digunakan untuk berwudhu’ hanyalah bersaiz kecil. Dalam sebuah hadis lain diterangkan bahawa Rasulullah SAW lazimnya berwudhu’ sebanyak satu “mud” air. [Shahih al-Bukhari, no: 201] Satu “mud” air ialah air yang dapat ditakung dengan kedua-dua telapak tangan orang lelaki bersaiz sederhana yang diletakkan bersama. Ia menyamai kuantiti air sebuah botol air mineral bersaiz kecil (600-700ml). Para ilmuan menyatakan satu “mud” bukanlah batas maksima penggunaan air wudhu’, tetapi menunjukkan sifat hemah penggunaan air oleh Rasulullah SAW. Jumlah ini hendaklah sama-sama kita renungi dalam suasana berwudhu’ masa kini yang menggunakan air paip yang mengalir deras, di mana jumlahnya jauh lebih banyak dari satu “mud”.
 
Kedua: Setelah membasuh kedua-dua telapak tangan, tangan kanan dimasukkan ke dalam bekas air untuk menciduk air bagi basuhan seterusnya. Nampaknya telah berlaku percampuran air, di antara air yang tersisa di telapak tangan setelah pembasuhan dan air yang berada di dalam bekas. Ini merupakan salah satu dari sekian banyak bukti bahawa syarat air mustakmal tidak berasal dari sunnah Rasulullah SAW. Air mustakmal bererti air yang telah digunakan untuk membasuh sesuatu anggota wudhu’, di mana ia tidak boleh digunakan semula oleh orang yang berwudhu. Syarat air mustakmal yang masyhur diajar hanya merupakan syarat yang dibuat-buat. Ia menyukarkan amalan wudhu’, membazirkan air dan tidak memiliki dalil kukuh dalam agama.
 
Ketiga: Para ilmuan berbeza pendapat hukum memasukkan air ke dalam hidung dan menghembusnya keluar ketika wudhu’, apakah ia sunat atau wajib? Di sebalik perbezaan ini, yang utama ialah kita memasukkan air ke dalam hidung dan menghembusnya keluar kerana ia merupakan sunnah yang mulia lagi menghasilkan pahala. Tidak ketinggalan, ia adalah praktik yang dapat membersihkan rongga hidung kita.
 
Keempat: Membasuh anggota wudhu’ sebanyak tiga kali merupakan jumlah maksimum. Jika dirujuk kepada hadis-hadis sahih yang lain, diterangkan bahawa Rasulullah SAW pernah membasuh anggota wudhu’ sekali, dua kali dan tiga kali. Semuanya bergantung kepada kadar penyebaran air dan pembasuhan. Jika anggota wudhu’ dapat disebarkan air ke atasnya dan dibasuh dengan lengkap, maka sekali sudah mencukupi. Tidak semestinya ia dilengkapkan kepada tiga kali. Jangan melebihi tiga kali kerana ia hanyalah was-was bisikan syaitan dan kezaliman ke atas diri sendiri. Rasulullah SAW mengingatkan: “Inilah wudhu’, sesiapa yang menambahnya maka dia berbuat keburukan, melampaui batas dan zalim”. [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 422]
 
Kelima: Semua anggota wudhu dibasuh sekali atau dua kali atau tiga kali kecuali kepala, ia diusap hanya sekali. Para ilmuan sekali lagi berbeza pendapat, apakah kepala diusap keseluruhannya atau cukup sebahagian atau cukup minimum tiga helai rambut? Di sebalik perbezaan ini, yang utama ialah mengusap keseluruhan kepala kerana itulah amalan Rasulullah SAW. Cara mengusap ialah menggunakan ruang di antara ibu jari dan jari telunjuk, basahkannya dan usap kepala dari hadapan ke belakang, dari belakang ke hadapan semula.
Ketahuilah bahawa telinga termasuk sebahagian dari kepala, maka setelah mengusap dari belakang ke hadapan, kedua-dua jari tangan kanan dan kiri terus mengusap telinga kanan dan kiri. Tidak perlu menciduk air atau membasahkan tangan semula. 
Bagi para muslimat yang memakai tudung dan memiliki kesukaran untuk membuka dan memakainya kembali, Islam memberi kemudahan untuk mereka mengusap di atas tudung sahaja. Mereka tidak perlu membukanya untuk mengusap rambut sepertimana di atas. [Shahih Fiqh al-Sunnah, jld. 1, ms. 238-239]
 
Keenam: Selesai berwudhu sebagaimana Rasulullah berwudhu’, dianjurkan mendirikan solat sunat dua rakaat. Solat ini memiliki ganjaran yang besar kerana ia menghapuskan semua dosa-dosa yang telah lalu. Selain itu Rasulullah SAW juga pernah mendengar bunyi kasut tukang azannya – Bilal – di dalam syurga, lalu ditanya kepada Bilal apakah amalan khusus yang dilakukannya? Bilal menerangkan bahawa beliau mendirikan solat sunat selepas wudhu’ hampir setiap kali selepas berwudhu’. [Shahih al-Bukhari, no: 1149]

Friday, November 26, 2010

9. APA HEBATNYA SOLAT DI AWAL WAKTU?

Apa Hebatnya Solat Di Awal Waktu?


Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam.
 
Saya rasa fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi, betul tak?

Waktu Subuh
Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Waktu Zohor
Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (Isyraq & Dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak?

Waktu Asar
Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif.
Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.

Waktu Magrib
Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Waktu Isyak
Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan.
Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

Qiamullail
Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail. Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini.
Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hamba-Nya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukan-Nya.
Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya.
Wallahualam.

- Artikel iluvislam.com