Makluman:
Pautan kepada sumber/blog asal setiap artikel diletakkan di permulaan entri.

Surah at-Tahrim ayat 6:
{ Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah, terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan}

Saturday, November 6, 2010

3. BARAKAH DALAM PERKAHWINAN

BARAKAH DALAM PERKAHWINAN

“Terima kasih atas persoalan yang diutarakan. Mudah menjawabnya, tetapi tidak semudah melaksanakannya.

Hakikatnya, lafaz baarakallah itu adalah suatu doa yang diajar oleh raslullah SAW sendiri untuk pasangan lelaki dan wanita yang menjadi raja sehari. Mengucapkannya merupakan satu bentuk pengharapan kepada ALLAH SWT, agar ikatan pernikahan/perkahwinan yang terjalin diwarnai dengan amalan yang menerbitkan barakah kerana keberkatan inilah yang akan menatijahkan reda ALLAH kepada pasangan mempelai ini dalam menelusuri perjalanan hidup sebagai suami isteri.

Ia adalah ucapan yang indah kepada pasangan yang akan memulakan bahtera cinta rumahtangga, dan ia juga secara tidak langsung menghadirkan kebaikan dan pahala kepada individu yang melafazkannya kerana menuruti sunnah rasul yang mulia. Justeru, kurangkan keutamaan ucapan-ucapan yang tidak memberi makna bahagia yang hakiki seperti, ‘semoga bahagia hingga ke anak cucu’, ‘selamat pengantin baru’ dan seumpamanya. Sebaliknya ucapkanlah kalimah munajat ini agar manfaat yang terkandung padanya menyerak bahagia kepada semua manusia. Hanya dari satu ucapan ringkas tetapi berasas dari junjungan agung, Muhammad SAW.
Hhakikat sebenar keberkatan itu bermula dari bagaimana ikatan serta perhubungan dua jiwa itu disempurnakan. Sebagaimana penegasan rasulullah SAW di dalam sabda baginda yang bermaksud :

“Wanita yang paling agung keberkatannya, adalah yang paling ringan maharnya.” (Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, Al-Baihaqi dengan sanad yang sahih)

Juga sabda baginda yang bermaksud :

“Sesungguhnya, kata Rasulullah SAW : ‘termasuk dari keberuntungan perempuan adalah mudah lamarannya, ringan mas kahwinnya dan subur rahimnya.” ( Hadis riwayat Ahmad)

Selanjutnya baginda juga mengingatkan di dalam sabdanya yang lain, yang bermaksud :

“ Seseorang yang menikahi wanita kerana kedudukannya, Allah akan menambahinya kehinaan, yang menikahinya kerana kekayaannya, Allah hanya akan memberinya kefakiran, yang menikahinya kerana nama besar keturunannya, Allah justeru akan menambahkan ke atasnya kerendahan. Namun, lelaki yang menikahi wanita hanya kerana menjaga pandangan mata dan memelihara nafsunya atau untuk mempererat hubungan kasih sayang (silaturrahmi), maka Allah akan memberkati lelaki itu dan memberi keberkatan yang sama kepada wanita itu sepanjang ikatan pernikahannya.” ( Hadis riwayat at Tabarani )

Untuk itu, sewajarnya, bukan rupa, harta,keturunan dan kehebatan majlis resepsi yang dikejar, tetapi kelangsungan jalinan yang dihiasi ketaqwaan dan keimanan itu yang harus diusahakan. Mewah dan gah tetapi menyalahi syari’at ALLAH, tidak akan menghadirkan barakah, bahkan menempah murka ALLAH SWT semata. Na’uzubillah min zaalik.

Perkara penting yang menentukan barakah atau tidak di dalam sesebuah perkahwinan ialah komitmen suami isteri. Ke mana hala tuju rumahtangga mereka mahu dibawa. Setiap perkara yang wujud di dalam rumahtangga harus menjadi sumber yang menghampirkan ahli di dalamnya kepada Yang Maha Berkuasa. Bukan persoalan mahal atau murah, bagus atau tidak tetapi apakah ia dapat atau tidak dipertanggungjawabkan di sisi ALLAH kelak.
Baik harta, suasana di dalam rumah, perhiasan yang digunapakai, bahkan dalam mengalunkan lagu di rumah juga biarlah sesuai dengan apa yang disukai ALLAH SWT. Ringkasnya, rumahtangga yang wujud itu adalah rumah yang berorientasikan ALLAH, demi mengharap cinta, rahmat dan keredaan-NYA.

Semoga dengan aliran reda-NYA itu, ia akan berubah menjadi limpahan barakah yang dapat pula dinikmati oleh orang lain di sekitar mereka.

Kesimpulannya :


1) Rumah tangga yang barakah adalah rumah tangga yang paling banyak kebaikan, nilai keimanan dan ketaqwaan yang dijana oleh setiap ahli di dalamnya.

2) Kasih, cinta, faham dan percaya di antara suami isteri itu satu keperluan, namun ketaqwaan di dalam diri mereka adalah satu kemestian.

3) Tidak salah memiliki rumahtangga yang berharta. Akan tetapi, harta yang ada itu bukan untuk bermegah-megah dan memperkaya diri, tetapi sebaliknya ia sebagai sumber dan tabungan untuk kebaikan umat Islam.

4) Akhirnya, kayu ukur untuk keberkatan di dalam sesebuah perkahwinan itu bukan pada limpahan harta. Tidak juga pada deretan cahaya mata, juga bukan pada pangkat dan jawatan yang menjadi sanjungan manusia. Akan tetapi, kayu ukur pada sebuah keberkatan di dalam perkahwinan itu adalah pada memaknakan setiap nikmat kurniaan ALLAH SWT itu, baik ia harta, anak pinak dan jawatan sebagai usaha-usaha kebaikan dan kebajikan untuk meningkatkan iman dan taqwa pada diri penghuninya.

Noraslina Jusin

No comments:

Post a Comment